Sunday 21 January 2018

MASJID LAMA BUKIT APENG




Masjid lama Bukit Apeng yang kini berusia lebih satu abad perlu dibaikpulih dan dikekalkan sebagai "Warisan Sejarah". Masjid tersebut yang dibina pada tahun 1914 dengan gaya Aglo-Indian yang brbentuk tiang segi empat dengan hiasan minima stucco segiempat dipercayai masih mempunyai struktur yang kukuh walaupun mengalami kerosakan kerana faktor usia.

Masjid tersebut dibina oleh Ngah bin Abdullah yang dipercayai salah seorang pengikut Diraja Kedah yang melarikan diri ke Daerah Kerian bersama Sultan Ahmad Tajuddin ketika Kedah diserang oleh Siam.

Mereka kemudiannya membuka sebuah perkampungan di Mukim Bagan Samak, Bandar Baharu yang dikenali sebagai "Kampung Raja". Ngah Abdullah dan beberapa rakannya kemudian berpindah ke Bukit Apeng dan berhasrat untuk menjadikan "Bukit Apeng" sebagai "Pusat Kegiatan Ilmu".

Dengan dibantu oleh beberapa orang sahabatnya yang terdiri dari Sheikh Ismail bin Sheikh Tahir, Haji Jaafar Imam Abu Bakar, Haji Said Haji Maarif, Lebai Ishak Abdullah dan Lebai Din Saad. Mereka mula merancang membina sebuah masjid dan beberapa buah pondok pengajian. Bagi menjayakan hasrat tersebut Ngah Abdullah telah memanggil Penghulu Mukim Sungai Batu, Penghulu Hussain bin Haji Muhammad untuk bersama bagi membangunkan Bukit Apeng sebagai pusat kegiatan ilmu.

Dibina di atas sebidang tanah lot 1940 yang diwakafkan oleh salah seorang penduduk disitu. Setelah siap dibina Ngah Abdullah telah menjemput seorang guru agama dari Tokai, Kedah yang dikenali sebagai Ustaz Zakaria Tokai. Dan Bukit Apeng mula beroperasi sebagai pusat ilmu.

Selain membina beberapa buah pondok, mereka juga berjaya membina sebuah sekolah agama rakyat yang dikenali sebagai "Madrasah Ittihadul Al-Wataniah" yang masih beroperasi sehingga sekarang yang menjadi satu-satunya sebuah sekolah agama yang tunggal di Daerah Bandar Baharu.

Sekolah tersebut sekarang ini diambil alih oleh Kementerian Pendidikan dan dinaiktaraf sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) yang dikenali sebagai SABK Maktab Mahmud Bandar Baharu.

Semasa meneroka untuk membangunkan Bukit Apeng sebagai pusat ilmu, mereka berdoa semuga Bukit Apeng satu hari nanti akan muncul sebagai "Pusat Kegiatan Ilmu" di Daerah Bandar Baharu. Dan masjid lama ini menjadi sebagai tapak asas bagi mencapai hasrat tersebut.

Melihat disegi faktor sejarah yang ada, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Mahmud Bandar Baharu dan pihak pengurusan sekolah telah bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pembangunan Wakaf Masjid Lama Bukit Apeng bagi melaksanakan kerja-kerja baikpulih masjid tersebut dan berhasrat untuk mengekalkan keunikan bentuk binaannya yang asal.

Menurut Penolong Kanan, Maktab Mahmud Bandar Baharu, Ustaz Mohd Radzi Ab. Lateh, pihak Jawatankuasa Pembangunan Wakaf, telah mengadakan perbincangan dengan pihak Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang untuk melakukan kerja baikpulih masjid tersebut dan mengekalkan  sebagai warisan sejarah.

Pihak USM juga telah membentuk Jawatankuasanya yang terdiri dari Prof. Dr. A. Ghafar Ahmad (Konservator USM), Ar. Zalena Abd Aziz (Arkitek), Ir. Prof. Madya Dr. Naser Abd Ghani (Jurutera Struktur), Sr. Prof. Madya Dr. Nazirah Zainal Abidin (Juru Ukur Bahan) dan Abd Jalil Ishak (Pegawai Teknimal).

Pihak Jawatankuasa dari USM telah mengadakan lawatan sebanyak dua kali ke masjid tersebut dan berminat untuk mengekalkan sebagai warisan sejarah.

Sementara itu pada bulan November 2017, Mufti Kedah, Datuk Fadzil Haji Awang dan pegawai-pegawainya dari Jabatan Mufti bersama Tuan Kadi Daerah Bandar Baharu telah mengadakan lawatan ke masjid tersebut dan merestui cadangan pihak sekolah untuk melakukan baikpulih.

Setelah satu abad berlalu,  hasrat untuk menjadikan Bukit Apeng sebagai Kawasan Ilmu kini tercapai. Doa mereka dimakbulkan. Dengan terbinanya sebuah "Kompleks Islam Darul Faizin (Ki Daf) di Bukit Apeng kini terbukti bahawa Bukit Apeng kini menjadi pusat kegiatan ilmu untuk masyarakat setempat.

Bukit Apeng kini mempunyai pusat pendidikan bermula dari pendidikan rendah (PRA) hingga ke peringkat menengah. Bukit Apeng bukan sahaja mempunyai sebuah sekolah agama yang dikenali sebagai Maktab Mahmud Bandar Baharu, malah mempunyai sebuah pondok moden sebagai "Kompleks Islam Darul Faizin (Ki Daf)" . Selain itu di Bukit Apeng juga ujud sebuah Pusat Asuhan Islam (PASTI) dan sebuah sekolah menengah SMK Lubuk Buntar.

Selian itu di Bukit Apeng juga terbina sebuah masjid Al-Afdhal yang menjadi nadi kegiatan ilmu.

Kewujudan institusi-inststusi  pendidikan  ini semuanya bermula dengan pembinaan Masjid Lama Bukit Apeng ini yang pastinya mempunyau nilai sejarah yang tinggi.



   

No comments:

Post a Comment

SUMBANGAN DANA / WAKAF DIPERLUKAN

Assalamualaikum. Kepada semua umat Islam yang dirahmati sekalian. Jawatankuasa Pembangunan Wakaf Masjid Lama Bukit Apeng memerlukan seju...