Wednesday 24 January 2018

SEJARAH MASJID LAMA BUKIT APENG






Masjid lama Bukit Apeng yang kini berusia lebih satu abad perlu dibaikpulih dan dikekalkan sebagai "Warisan Sejarah". Masjid tersebut yang dibina pada tahun 1914 dengan gaya Aglo-Indian yang berbentuk tiang segi empat dengan hiasan minima stucco segiempat dipercayai masih mempunyai struktur yang kukuh walaupun mengalami kerosakan kerana faktor usia.


Masjid tersebut dibina oleh Ngah bin Abdullah yang dipercayai salah seorang Pengikut Diraja Kedah yang melarikan diri ke Daerah Kerian bersama Sultan Ahmad Tajuddin ketika Kedah diserang oleh Siam.



Ketika tiba di Seberang Perai, Sultan Ahmad Tajuddin mengambil keputusan untuk ke Pulau Pinang bersama beberapa orang pengikutnya (kerana Pulau Pinang pada masa itu masih dalam takluk Kedah). Sementara Ngah bin Abdullah dan beberapa orang mengambil keputusan ke Kerian. Kemudiannya mereka berpecah ada yang ke Tanjung Piandang dan ada ke Bagan Samak, Mukim Bandar Baharu.



Di Mukim Bagan Samak, mereka membuka sebuah perkampungan disitu yang dikenali sebagai "Kampung Raja" (kampung tersebut masih ujud hingga sekarang). Setelah menetap beberapa lama disitu, Ngah Abdullah dan beberapa orang pengikutnya mengambil keputusan untuk meneroka kawasan Bukit Apeng yang juga tidak berapa jauh dari situ.


Dengan dibantu oleh beberapa orang sahabatnya, Ngah Abdullah mula meneroka dan berhasrat untuk menjadikan Bukit Apeng sebagai sebuah kawasan "ilmu". Antara sahabat beliua ialah Sheikh Ismail bin Sheikh Tahir, Haji Jaafar bin Imam Abu Bakar, Haji Said bin Haji Maarif, Lebai Ishak bin Abdullah dan Lebai Din bin Said.


Mereka mula merancang untuk membina sebuah masjid dan beberapa buah pondok sebagai pusat pengajian umumi. Bagi menjayakan hasrat tersebut juga, Ngah Abdullah telah memanggil Penghulu Mukim Sungai Batu, Penghulu Hussain bin Haji Mohamad untuk bersamanya bagi membangunkan Bukit Apeng sebagai "Pusat Kegiatan Ilmu".



Mereka telah mengadakan "gotong royong" bagi membina sebuah masjid. Hasil kerjasama dan kesepakatan penduduk, masjid tersebut siap dibina pada tahun 1914M bersamaan 12hb Rabiul Awwal sempena tahun kelahiran Rasulullah S.A.W. Pada masa itu mereka berjaya mengumpul sebanyak RM 2,000.00 bagi tujuan membina masjid.



Dibina di atas sebidang tanah lot 1940 yang diwakafkan oleh salah seorang penduduk akhirnya mereka berjaya membina masjid tersebut dan beberapa buah pondok pengajian. Setelah siap Ngah Abdullah telah menjemput seorang Tuan Guru dari Tokai, yang dikenali sebagai Ustaz Zakaria Tokai untuk mengajar di situ. Dan dari saat itu Bukit Apeng mula beroperasi sebagai "Pusat Ilmu".



Selain membina beberapa buah pondok, mereka juga berjaya membina sebuah sekolah agama rakyat yang dikenali sebagai "Madrasah Ittihadul Al-Wataniah, Bukit Apeng" yang masih beroperasi hingga sekarang. Madrasah Ittihadul Al-Wataniah, menjadi satu-satunya sekolah agama rakyat yang tunggal di Daerah Bandar Baharu.



Madrasah tersebut sekarang ini diambil alih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan dinaikkan taraf sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan dikenali sebagai SABK Maktab Mahmud Cawangan Bandar Baharu.



Semasa meneroka untuk membangunkan Bukit Apeng sebagai "Pusat Ilmu" mereka berdoa semuga suatu hari nanti Bukit Apeng akan muncul sebagai Pusat Kegiatan Ilmu di Daerah Bandar Baharu dan masjid lama ini menjadi asas bagi mencapai hasrat tersebut.



Melihat disegi faktor sejarah yang ada, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Mahmud dan pihak Pengurusan Sekolah telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pembangunan Wakaf Masjid Lama Bukit Apeng bagi merancang dan melakukan kerja-kerja baikpulih masjid tersebut dan berhasrat untuk mengekalkan keunikan bentuk binaannya yang asal.



Menurut Penolong Kanan, Maktab Mahmud, Ust Mohd Radzi Ab. Lateh, pihak Jawatankuasa Pembangunan Wakaf telah mengadakan perbincangan dengan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang untuk melakukan kerja baikpulih masjid tersebut dan mengekalkan sebagai warisan sejarah.



Pihak USM juga telah membentuk sebuah Jawatankuasanya yang terdiri dari, Prof. Dr. A. Ghafar bin Ahmad (Konservator USM), Ar. Zalena binti Abd Aziz (Arkitek), Ir. Prof. Madya Dr. Naser bin Abd Ghani (Jurutera Struktur), Sr. Prof. Madya Dr. Nazirah binti Zainal Abidin (Juru Ukur Bahan), dan Abd Jalil bin Ishak (Pegawai Teknikal).



Pihak Jawatankuasa dari USM juga telah mengadakan lawatan sebanyak dua kali ke tapak masjid tersebut dan berminat untuk mengekalkan sebagai warisan sejarah.



Sementara itu pada bulan November 2017, Mufti Kedah, Datuk Fadzil bin Haji Awang dan pegawai-pegawainya dari Jabatan Mufti telah mengadakan lawatan ke masjid tersebut dan merestui cadangan pihak Jawatankuasa Pembangunan Wakaf untuk melakukan baikpulih.



Setelah satu abad berlalu, hasrat untuk menjadikan Bukit Apeng sebagai ilmu kini tercapai. Doa mereka dimakbulkan. Dengan terbinanya sebuah "Kompleks Islam Darul Faizin (Ki Daf) di Bukit Apeng kini terbukti bahawa Bukit Apeng kini menjadi pusat kegiatan ilmu untuk masyarakat setempat.



Di Bukit Apeng juga kini terdapat sebuah Pusat Asuhan Kanak-Kanak Islam (PASTI) dan sebuah masjid baru, Masjid Al-Afdhal yang menjadi nadi kegiatan ilmu setempat. Selain itu berhampiran Bukit Apeng juga terdapat sebuah sekolah menengah harian yang dikenali sebagai SMK Lubuk Buntar. 




No comments:

Post a Comment

SUMBANGAN DANA / WAKAF DIPERLUKAN

Assalamualaikum. Kepada semua umat Islam yang dirahmati sekalian. Jawatankuasa Pembangunan Wakaf Masjid Lama Bukit Apeng memerlukan seju...